KENALI IKRAM

PENGENALAN

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) adalah sebuah pertubuhan yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan cara hidup dan ajaran-ajaran Islam. Ia tidak bertujuan membuat keuntungan dan berusaha untuk penegakan perundangan Islam di Malaysia.
Dasar IKRAM ialah ISLAM dan asas pegangannya ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Ijtihad.
IKRAM telah dilancarkan pada 20 jun 2010 di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan.
IKRAM lahir hasil gabungan ahli daripada lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit, Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang baru ditubuhkan Februari 2010 menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.
Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.

VISI DAN MISI

IKRAM ialah sebuah pertubuhan Islam yang menyeluruh, yang bekerja untuk menegakkan Islam di Malaysia. Matlamat IKRAM ialah:
  1. Menyebarkan risalah Islam melalui dakwah, serta mempertahankannya daripada kebatilan dan syubahat;
  2. Mengumpulkan hati dan jiwa individu Muslim di atas dasar Islam dan membina akhlak yang mulia;
  3. Meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam;
  4. Memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial serta membenteras kejahilan, kemiskinan, keruntuhan moral dan menggalakkan kerja kebajikan, tanpa mengira bangsa dan agama;
  5. Memperjuangkan hak umat Islam dan berusaha meningkatkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mereka;
  6. Menegakkan syariat Islam secara praktikal;
  7. Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam;
  8. Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan kepentingan Islam, umat Islam dan masyarakat.

LOGO IKRAM
Logo IKRAM merangkumi dua bahagian: Sebuah huruf Arab atau Jawi iaitu “alif”; dan sebuah “glob” atau “dunia” di atas “alif”. Bila dicantumkan, kedua-dua bahagian ini boleh dilihat sebagai huruf Roman “i”. Maka kaedah seni yang digunakan menghasilkan pencantuman dan penindihan antara “alif” dengan “i”.

Makna lambang IKRAM ialah seperti berikut:
i. Huruf Arab “alif” dan huruf Roman “i” adalah permulaan bagi perkataan Ikram, Islam, Iman dan Ihsan serta juga beberapa perkataan yang membawa makna yang positif di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti Inovasi dan Integriti.
ii. Dua warna yang digunakan ialah warna batu firus hijau kebiru-biruan atau torquoise (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002. Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris – Bahasa Melayu Edisi Kedua) bagi “alif” dan warna hijau bagi “glob”. Warna batu firus adalah warna segar kontemporari dan warna hijau adalah warna kesegaran sejagat.

JAWATANKUASA PUSAT